Thursday, April 18, 2013

peran wanita dalam politik

Wanita Dalam Politik



Keistimewaan Penyertaan Wanita

Perlukah wanita mengambil bahagian dalam politik? Jika perlu apakah keistimewaan wanita menyertai dan melibatkan diri dalam politik?
Itu adalah dua soalan yang menjadi tinjauan Penita dalam usaha mengupas isu wanita dan politik. Wanita mahupun lelaki yang ditanya berpendapat bahawa peranan wanita dalam politik bukan sahaja penting tetapi wajib sekiranya kita ingin melihat masyarakat dan negara maju dan berjaya. Daripada pendapat mereka Penita dapat merumus empat aspek utama kepentingan serta keistimewaan wanita mengambil bahagian dalam politik.
Pertama, hanya wanita sahaja yang benar-benar memahami keperluan, kehendak jiwa dan aspirasi wanita kerana jantina mereka. Di Malaysia lebih 50% penduduk negara terdiri daripada kaum wanita. Sekiranya wanita tidak mengambil bahagian cergas dalam politik, siapakah akan mewakili hasrat dan aspirasi wanita dalam penggubalan dasar, pentadbiran dan pembangunan masyarakat dan negara?
Sudah tentu kaum lelaki. Walaupun andaian dibuat bahawa kaum lelaki sangat prihatin dan benar-benar ingin mewakili hasrat dan aspirasi wanita, namun ada keputusan dan tindakan mereka yang idak seperti pemimpin wanita dalam politik kerana berbezaan jantina. Sudah tentu kurang kefahaman mendalam mengenai kehendak dan aspirasi wanita lambat laun akan terlihat dalam dasar dan tindakan kaum lelaki. Mungkin apa yang diputuskan dan dilaksanakan bukan mencerminkan kehendak dan aspirasi kaum wanita.
Justeru itu, keistimewaan wanita mengambil bahagian dalam politik adalah peranan mereka sebagai pengimbang antara jantina. Perwakilan wanita dalam politik dapat menentukan wujud keadaan saksama, peluang yang sama rata dan layanan yang adil antara jantina untuk hidup dan maju sebagai rakan kongsi dalam keluarga dan masyarakat. Peranan wanita dan lelaki sebagai rakan kongsi antara jantina perlu juga diterapkan dalam politik negara. Barulah kita dapat wujudkan keadaan seimbang antara jantina dan membina masyarakat yang lebih saksama dan adil.
Kedua, wanita dengan sifat keibuan semula jadi sangat peka dalam cara dan keperluan membimbing dan membina keutuhan institusi kekeluargaan. Sekiranya mereka tidak digalakkan dan disokong mengambil bahagian aktif dalam politik sudah tentu ilmu semulajadi dan kepakaran mereka dalam menggubal dasar dan pentadbiran negara tidak dapat digunakan sepenuhnya khususnya perkara-perkara yang melibatkan hal kesejahteraan keluarga.
Ini adalah satu kerugian besar kepada masyarakat dan negara. Itulah satu-satunya keistimewaan tambahan sekiranya wanita mengambil bahagian aktif dalam politik. Mereka boleh membantu mewujudkan satu masyarakat penyayang yang berjiwa dan mempunyai semangat kekeluargaan. Dengan ini juga negara kita akan lebih kukuh dan bersatu mencapai pembangunan.
Ketiga, watak semulajadi wanita yang pada amnya tidak suka kepada keganasan atau konflik dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Mereka lebih suka menyelesaikan konflik dengan bermesyuarah secara aman. Itu adalah pada lazimnya. Tetapi terdapat juga wanita yang boleh gunakan keganasan dan kekerasan dalam menyelesaikan sesuatu konflik. Namun, jumlahnya adalah terlalu kecil.
Justeru itu, secara amnya jika kaum wanita mengambil bahagian dalam politik mereka boleh membantu mengatasi konflik dan salah faham tanpa konfrontasi dan berperang tetapi secara rundingan serta aman. Perkara ini bukan sahaja timbul dalam tinjauan Penita tetapi juga dalam kajian pakar-pakar sains politik. Ini merupakan satu lagi keistimewaan wanita mengambil bahagian dalam politik.
Keempat, kaum wanita lebih prihatin mengenai soal makanan, kesihatan dan perlindungan alam sekitar. Mereka prihatin mengenai kualiti hidup dan pembangunan mampan. Ramai wanita yang terlibat dalam kempen kesihatan, makanan selamat dan perlindungan alam sekitar. Penglibatan mereka dalam politik adalah sangat penting sekiranya masyarakat dan kerajaan inginkan dasar dan amalan yang mencerminkan keprihatinan ini. Hal ini sangat penting di zaman sekarang di mana corak pembangunan kita hari ini adalah lebih tertumpu kepada pembangunan ekonomi dan mencari keuntungan tanpa memikirkan kepentingan sosial, alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Walaupun hakikat keperluan kaum wanita melibatkan diri dalam politik ini semakin hari semakin menjadi kenyataan, tetapi perkara ini telah dicapai dengan satu pengorbanan besar di kalangan kaum wanita. Sistem sosial dan kekeluargaan kita menghalang wanita bergerak aktif dalam politik. Sekiranya kita benar-benar mahu wanita aktif dalam politik, masyarakat kita perlu mengubah sikap dan minda kita ke arah satu sistem sosial yang lebih terbuka, adil dan saksama. Kedudukan saksama jantina dan prinsip rakan kongsi antara jantina perlu diperluaskan dalam masyarakat. Itu juga merupakan perjuangan asas Penita.

No comments:

Post a Comment